fbpx
Namewee

Jamin polis Namewee dilanjutkan hingga laporan toksikologi, bedah siasat siap 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tempoh jaminan polis terhadap penyanyi rap Wee Meng Chee, yang lebih dikenali sebagai Namewee, dilanjutkan sementara pihak polis menunggu laporan toksikologi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia termasuk laporan penuh bedah siasat berkaitan kematian pempengaruh warga Taiwan berusia 33 tahun pada 22 Oktober lalu.

“Kita masih menunggu laporan toksikologi sepertimana yang dinyatakan sebelum ini. Ia mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat 2025 Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Dataran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihak polis sedang berusaha bagi mendapatkan kedua-dua laporan secepat mungkin bagi membantu siasatan.

“Jika perlu, kita akan lanjutkan lagi (tempoh) jaminan (terhadap Namewee),” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis melanjutkan tempoh jaminan terhadap Namewee selama 14 hari sehingga 10 Disember.

Namewee sebelum ini direman dari 5 hingga 13 November sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa.

Terdahulu, seorang wanita warga Taiwan ditemui meninggal dunia di dalam tab mandi bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini pada 22 Oktober lalu sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Kes tersebut yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI