PETALING JAYA – Kawasan yang terlibat dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren yang mengangkat arang batu di Loji Janakuasa Malakoff, Kompleks Tanjung Bin dekat Johor telah dikawal dan disekat, manakala satu siasatan dalaman akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebaik operasi menyelamat selesai.
Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dalam kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di jeti Kompleks Tanjung Bin kira-kira pukul 12.10 tengah hari, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Pasukan Tindak Balas Kecemasan loji telah dikerahkan serta-merta ke lokasi kejadian sejurus insiden dilaporkan.
“Susulan kejadian tersebut, dua kakitangan kontraktor disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi kakitangan kontraktor mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di hospital,” katanya.
Malakoff berkata, kawasan yang terjejas telah dikawal dan disekat sepenuhnya sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko tambahan kepada pekerja dan operasi loji.
“Keselamatan dan kebajikan semua kakitangan yang terlibat kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Malakoff memaklumkan operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin serta Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden berkenaan.
Pihak syarikat turut menegaskan akan menyalurkan maklumat lanjut kepada orang ramai sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut berkaitan kejadian tersebut.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.01 tengah hari.
Dalam kejadian tersebut, sebuah kren dipercayai runtuh ketika operasi mengangkat arang batu sebelum menghempap tiga lelaki dewasa warga tempatan yang berada di kawasan berkenaan.
Menurut Mohd Nazri, seramai 15 anggota dengan bantuan dua jentera ‘fire rescue tender’ dan sebuah jentera ’emergency medical rescue services dari BBP Pontian Baru serta BBP Pekan Nenas digerakkan ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














