PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka berlarutan sehingga pukul 9 pagi ini di beberapa negeri.
MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk dijangka melibatkan beberapa daerah di Perak iaitu Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim.
“Di Kelantan, kawasan terlibat termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman,” katanya.
Menurut MetMalaysia, hujan lebat dan ribut petir turut dijangka berlaku di Pahang melibatkan daerah Raub, Kuantan, Pekan dan Rompin.
Selain itu, beberapa kawasan di Selangor turut terjejas termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
“Hujan turut diramal melanda seluruh Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Cuaca sama dijangka berlaku di Negeri Sembilan melibatkan Seremban, Port Dickson dan Rembau serta beberapa daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














