SUNGAI SIPUT – Kebimbangan penduduk Felda Lasah, di sini berhubung kemunculan haiwan liar yang dilaporkan berkeliaran dan menyerang ternakan reda apabila seekor harimau kumbang berjaya ditangkap, semalam.
Harimau kumbang betina dengan anggaran usia empat hingga lima tahun itu ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Seorang penternak, Aidil Hazwan Bokhari, 34, berkata, kemunculan harimau itu menimbulkan keresahan penduduk selepas ternakan mereka ditemukan mati dengan kesan serangan haiwan liar.
“Semalam pun semasa saya lepaskan lembu, saya perasan seekor anak lembu hilang dan tak lama lepas itu bangkainya dijumpai di ladang kelapa sawit dalam keadaan tidak sempurna.
“Selepas buat laporan, Perhilitan datang pasang perangkap dan bangkai anak lembu tersebut dijadikan umpan. Hasilnya, harimau kumbang itu masuk perangkap,” katanya, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














