SHAH ALAM – Pasangan pengantin baharu, Erra Fazira, 52, dan Ezwan Zain, 44 , memilih konsep klasik tradisional Melayu sebagai tema majlis resepsi yang berlangsung hari ini.
Menurut Ezwan, selaku perancang majlis dia mahu isterinya kelihat bak puteri diraja pada hari bahagia mereka.
“Saya mahu mengekalkan unsur klasik kerana mahu mengangkat budaya Melayu klasik kita.
“Saya nak naikkan aura isteri saya. Saya berterima kasih kepada perancang perkahwinan kami kerana merealisasikan impian ini,” katanya.
Sementara itu bagi Erra, dia terharu dengan kejutan suami tercinta yang mahu meraikannya persis puteri pada hari bersejarah mereka.
“Saya pun tak sangka ada iringan penyanyi koir. Tapi ini merupakan satu kejutan yang sangat manis daripada suami.
“Saya nampak dan hargai segala usaha dia nak menterjemahkan cintanya kepada saya. Terima Kasih atas usahanya meraikan saya untuk menjadikan hari bahagia kami sebagai hari bersejarah,” jelasnya.
Sewaktu perarakan masuk pasangan mempelai ke dalam dewan, seluruh dewan bergema dengan lagu Asmaradana dan Bagaikan Sakti yang merupakan lagu tema filem Puteri Gunung Ledang.
Pelamin juga berkonsepkan tradisional persis singgahsana Bangsawan berwarna merah hati dan coklat.
Kedua-dua mempelai segak bergaya memakai busana tradisional songket berwarna perak rekaan Lumiere Concept.
Majlis resepsi tersebut dihadiri hampir 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada keluarga raja sehari.
Beberapa bintang terkenal turut membuat persembahan antaranya Naqiu, Siti Nordiana, Hafiz Hamidun dan Iskandar Ismail.
Terdahulu pasangan mempelai itu sah diijabkabulkan dalam majlis akad yang berlangsung di lokasi sama. – KOSMO! ONLINE














