SUBANG JAYA – Polis menjalankan siasatan terhadap sebuah treler yang membawa muatan sebuah helikopter di jalan awam sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas kenderaan awam yang lain.
Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menerusi video tular di TikTok sekitar pukul 8.06 malam, semalam.
Menurutnya, kejadian itu didapati berlaku di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke susur arah Jalan Persiaran Kewajipan di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 4 Disember lalu.
“Siasatan awal mendapati treler yang sedang membawa muatan sebuah helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut akibat muatan terlalu panjang sehingga mengakibatkan kesesakan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam kejadian ini juga sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat daripada kesesakan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Wan Azlan berkata, pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.
“Kes disiasat di bawah kaedah Rule 9(2) LN 166/59.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Azizul Halim Roslan di talian 011-28914495,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah lori yang membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik.
Kejadian dipercayai berlaku di laluan berhampiran Bandar Sunway itu dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














