SETIAP manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Takdir menggauli manusia dengan bermacam cara, namun setiap orang juga berhak mendapat peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan lalu.
Begitu juga dengan bekas penyampai radio popular, Ismahalil Hamzah, 51, yang mendapat peluang kedua paling besar dalam hidup apabila dibebaskan daripada penjara dan terlepas hukuman gantung atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah jenis kanabis.
Isma yang pernah mencipta populariti sebagai DJ radio era 1990-an menerusi stesen Radio Muzik dan THR didakwa pada 27 Ogos 2021 atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Jika sabit jika sabit kesalahan, membawa hukuman berat termasuk gantung sampai ati.
Namun pada 17 Julai 2023, lelaki bertubuh tegap itu dibebaskan selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dua tahun menjalani kehidupan di sebalik tirai besi sebenarnya banyak membuka mata dan pintu hati pengasas radio Bapakku FM itu.
Menurut Isma, dia banyak belajar tentang makna sebenar erti kebebasan dan bagaimana kebergantungan manusia terhadap Pencipta.
“Saya belajar mensyukuri nikmat kebebasan. Saya masih ingat ketika dalam perjalanan dari penjara ke mahkamah. Dari atas lori itu kita boleh lihat kehidupan orang di luar. Lihat suami isteri naik motor, kereta bersama.

Pecah kepala
“Melihat situasi tersebut sahaja boleh buatkan kita ‘down’ nak pecah kepala. Bila kita kembali ke dalam sel, dikurung, ada yang tidur di atas lantai. Sampai satu tahap saya pasrah. Pasrah dan reda, tidak sekadar di mulut, kita kena rasai sendiri.
“Saya berdoa kepada Allah terima kasih kerana masukkan saya di dalam penjara. Sekarang baru saya tahu bagaimana rasa erti bersyukur. Di dalam penjara saya tidak pernah gagal solat lima waktu. Hanya Allah satu-satunya tempat untuk kita bergantung harap. Peguam, isteri, anak-anak, mereka tiada kuasa, hanyalah kasih sayang,” katanya.
Ketika di dalam penjara, selain banyak bermuhasabah diri, Isma juga banyak melibatkan diri dengan aktiviti penjara seperti menjadi pengacara dan memberi motivasi.
“Dalam penjara saya jadi pengacara untuk aktiviti sukan dan majlis hari raya. Saya juga beri motivasi kepada banduan-banduan yang kematian ibu bapa.
“Duduk di dalam penjara, kita tak boleh fikir dunia luar, kita akan jadi separuh gila. Kita jalani sahaja kehidupan di dalam penjara. Penuhkan dengan aktiviti-aktiviti di dalam penjara.
“Mungkin ramai orang yang menghina banduan di dalam penjara. Tetapi ketahuilah bahawa orang yang ada di dalam penjara, selain menunggu waktu mati, mereka juga menunggu waktu solat. Setiap kali azan sahaja mereka akan ambil wuduk dan solat. Jadi setiap hari tidak akan terasa lama kerana sentiasa menantikan waktu solat lima waktu,” dedahnya.
Namun ada satu peristiwa yang membuatkan Isma benar-benar berduka adalah sewaktu anak perempuannya datang membawa bakal suami untuk meminta izin berkahwin.
“Bayangkan perasaan saya ketika itu. Bakal menantu saya datang nak minta izin menikahi anak saya dengan melihat keadaan saya memakai baju penjara.
“Saya bertanya kepadanya adakah dia mampu menjaga anak saya dengan baik. Tetapi dengan kuasa Allah, Alhamdulillah saya dibebaskan sebelum anak saya bernikah dan saya sendiri yang nikahkan dia. Saya buat kenduri, ketika itu saya jemput sekitar 2,000 jemputan, tetapi yang datang hampir 5,000 sampai sesak jalan,” ujarnya.
Semasa dalam penjara, jauh di sudut hatinya, dia sentiasa percaya akan dibebaskan kerana yakin tidak bersalah.
“Saya yakin saya akan dibebaskan satu hari nanti, cuma tak tahu bila. Tetapi saya bersyukur kerana saya dibebaskan lebih awal dan sempat melihat anak saya berkahwin,” jelasnya.

Dianggap mati
Dua tahun di dalam penjara bermakna siaran radio Bapakku FM juga terpaksa menghentikan operasi. Apa yang dikesalkan Isma adalah rakan kongsinya yang lesap termasuk wang simpanan di dalam akaun bank.
Apabila dibebaskan, dia terpaksa bermula dari bawah dan menggunakan wang simpanan sendiri untuk menghidupkan kembali Bapakku FM yang dibina sejak 2009.
“Panjang kisahnya. Saya tidak mahu memburukkan sesiapa. Tetapi ketika dalam penjara saya mendapat perkhabaran bahawa radio saya ditutup. Rakan kongsi larikan diri, anggap saya sudah digantung sampai mati. Mereka anggap saya dah mati.
“Saya selalu berdoa jika Allah bebaskan saya dari penjara, saya akan kembali on air dan buat balik radio Bapakku FM. Di dalam penjara saya ada baca buku bertajuk Bertemu Janji Allah. Saya khatam al-Quran tiga kali.
“Jangan ingat bila kita dihukum kita jauh dari Allah. Sebenarnya Allah nak kita dekat dengan Dia. Dia tarik kita dengan pelbagai ujian supaya kita mensyukuri segala nikmat-Nya.
“Ketika dalam penjara saya berjanji dengan Allah jika dibebaskan saya akan baca hadis dan buku Bertemu Janji Allah setiap kali on air. Sekarang bila on air, saya dahulukan dua hal itu,” ujarnya yang bersyukur masih diterima seadanya oleh para peminat,” katanya yang turut menerima tawaran berkhidmat di sebuah stesen radio popular sebaik dibebaskan.

Tolak tawaran
Namun kata Isma, dia lebih selesa menjadi penyampai di Bapakku FM sahaja kerana lebih bebas berkarya dan tidak perlu terikat.
“Pada usia sebegini saya selesa bekerja sendiri. Saya cari kepuasan. Saya tidak mahu sekadar pergi kerja, balik kerja tunggu gaji. Saya mahu selepas habis tugas di konti, saya pulang dengan rasa puas. Topik dan lagu, saya yang tentukan mengikut isu semasa.
“Biarpun Bapakku FM merupakan radio dalam talian tetapi kita sudah kumpul 2,000 ahli dalam kelab pendengar.
“Kita juga ada Warung Bapakku FM untuk pendengar-pedengar berkumpul dan beriadah. Perkara ini sudah lama saya idamkan,” kongsinya.
Ditanya apa lagi yang mahu dikecapinya selepas ini, kata Isma tiada apa lagi yang mahu dikecapi, selain menjalani kehidupan dengan tenang.
“Sebenarnya saya banyak duduk di rumah luangkan waktu bersama keluarga. Bercucuk tanam, potong rumput dan cantikkan lagi warung saya. Dalam masa yang sama saya akan on air kerana itu adalah jiwa saya,” katanya.














