LONDON – Chelsea masih menaruh harapan tinggi untuk menurunkan tiga pemain utama, Wesley Fofana, Trevoh Chalobah dan Enzo Fernandez dalam misi memburu kemenangan ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.
Sebagai rekod, prestasi The Blues ketika ini merudum selepas gagal menang dalam empat perlawanan terakhir sejak menewaskan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), bulan lalu.
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui terdesak untuk menurunkan semua pemain terbaik kerana mahu menamatkan badi tanpa kemenangan pasukan secepat mungkin.
“Fofana sebelum ini ada masalah penglihatan kerana dia susah nak nampak. Namun, saya rasa kecederaan yang dialami tidak terlalu serius dan boleh diturunkan bertemu Everton.
“Situasi sama diharapkan buat Chalobah dan Fernandez supaya mereka cergas sepenuhnya nanti,” kata Maresca.
Sementara itu, Chalobah berharap rakan-rakan sepasukan kekal percaya dengan falsafah bola sepak yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan selepas prestasi tidak meyakinkan sejak beberapa perlawanan lepas.
“Sebagai pemain, kita kena kekal bersama kerana kita tidak boleh sentiasa menang. Situasi macam ini perlu membuatkan kita lebih kuat untuk bersatu,” katanya.- AGENSI














