SEREMBAN – Polis mengesahkan insiden tembakan yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan seorang lagi di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson, Rabu lalu, dipercayai bermotifkan balas dendam membabitkan kumpulan kongsi gelap.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol bersama beberapa butir peluru yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan itu, selain masih giat mengesan beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti peranan suspek yang ditahan serta mengumpul bukti berkaitan rampasan untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas Program FRU 70th FitRun 2025 sempena Sambutan Hari Peringatan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ke-70 di Seremban, hari ini.
Alzafny berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada motif balas dendam melibatkan satu kumpulan kongsi gelap dan usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya
Dalam pada itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan bagi membolehkan kes tersebut diselesaikan dengan segera dan semua pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan. – KOSMO! ONLINE














