MACHANG – Polis menjumpai sebanyak 41 biji dadah dipercayai pil kuda di dalam sebuah kereta yang bertembung dengan sebuah trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seberat tiga tan di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah di sini kelmarin.
Nahas kira-kira pukul 6.35 petang itu, mengorbankan Sarjan Fahmey Darus, 39, yang menaiki sebuah trak tiga tan jenis Hicom Handalan milik ATM dipandu seorang anggota bersama dua lagi rakan setugas.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan mendapati, lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira itu merupakan bekas banduan.
Menurutnya, lelaki itu baru keluar dari Penjara Machang pada 4 Disember lalu selepas menjalani hukuman di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii.
“Siasatan lanjut mendapati, polis menemukan sebanyak 41 biji dadah disyaki pil kuda di dalam kereta dipandu lelaki yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Sungai Asap dekat Gua Musang itu.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kesemua dadah tersebut untuk diedarkan atau kegunaan pemandu kereta itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, lelaki itu juga mempunyai sembilan rekod lampau dengan tujuh daripada merupakan kes dadah, manakala dua lagi kes jenayah. Ujian saringan air kencing tidak dapat dijalankan kerana lelaki itu masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian. – KOSMO! ONLINE














