SEBERANG JAYA – Polis telah menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian bunuh dan simpan mayat isterinya di kediaman sewa mereka di Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, senjata tajam itu dijumpai ketika pemeriksaan Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Menurutnya, polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan turut mengambil beberapa sampel berkaitan sejurus menerima maklumat daripada seorang lelaki Melayu yang mengaku membunuh isterinya di rumah mereka.
“Kita menerima laporan daripada lelaki yang juga suspek kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi semalam. Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telahpun ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan lanjut di tempat kejadian telah menemui mangsa iaitu si mati dalam keadaan terbaring dengan lengkap berpakaian di atas tilam dalam sebuah bilik tidur. Mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu,” katanya di sini, hari ini.
Beritahu beliau lagi, mayat si mati kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
“Tangkapan ke atas suspek telah dilakukan untuk siasatan lanjut dan akan dibawa reman ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi untuk permohonan reman
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku,” ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru,beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Pihak polis memohon saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berlaku agar tampil ke IPD Seberang Perai Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














