MACHANG – Nahas yang mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat sarjan di Kilometer (KM) 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah di sini semalam dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang gagal memotong sebelum bertembung dengan trak Angkatan Tentera (ATM) yang dinaiki mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang itu, mangsa, Fahmey Darus, 39, yang bertugas di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa duduk di depan trak tiga tan jenis Hicom Handalan milik ATM yang dipandu seorang anggota bersama dua lagi penumpang.
Katanya, ketika kejadian kenderaan itu dalam perjalanan pulang ke Kem Desa Pahlawan dari arah Tanah Merah.
“Semasa tiba di lokasi, kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai dipercayai memotong sebuah lagi kereta di hadapannya.
“Kereta itu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan pemandu trak tersebut tidak sempat mengelak sebelum bertembung,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Shafiki berkata, pemandu Proton Wira yang turut cedera dihantar ke Hospital Machang di sini untuk rawatan awal. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang anggota ATM maut, manakala tiga lagi rakan setugas cedera selepas trak yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Bukit Belah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Alfarra Mohamad Zin dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.51 petang sebelum enam anggota dan pegawai bergegas ke lokasi.
Salah seorang anggota tentera itu meninggal dunia di lokasi kemalangan. Pemandu kereta Proton Wira tersepit dan cedera parah. – KOSMO! ONLINE














