JAKARTA – Seramai 19 murid sekolah cedera dirempuh van milik agensi kerajaan, Badan Gizi Nasional (BGN) dalam kejadian di Clincing, daerah Jakarta Utara hari ini, lapor saluran berita CNN Indonesia.
Ketika kejadian, van tersebut sedang membawa makanan percuma berkhasiat untuk murid Sekolah Dasar Negeri 01 Kalibaru.
“Seramai 19 mangsa dirawat di dua buah hospital,” kata wakil ketua BGN, Nanik S. Deyang.
Berdasarkan maklumat awal Nanik berkata, tiada mangsa meninggal dunia dalam insiden tersebut.
Terdahulu, van terbabit merempuh kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti di pekarangan tersebut, manakala klip video kejadian tular di media sosial.
Rakaman video kejadian turut memaparkan ramai guru dan orang sekeliling berusaha membantu mangsa.
Berdasarkan keterangan bersama klip video tersebut, kemalangan berlaku disebabkan oleh kelalaian pemadu yang tersilap menekan pedal minyak ketika mahu menekan brek kenderaan.
Mengulas kemalangan itu, ketua BGN, Dadan Hindayana berkata, pasukannya sedang menuju ke lokasi kejadian.
“Pasukan BGN dalam perjalanan ke lokasi,” kata Dadan tanpa mengulas lanjut.
Menurut polis tempatan, pemandu van sudah ditahan untuk diambil keterangan. – AGENSI














