fbpx
Johari (kiri) dan Ajay ketika sidang akhbar selepas melancarkan UK Partnering for Accelerated Climate Transitions 2.0 di Double Tree Hilton Kuala Lumpur. Foto oleh SADDAM YUSOFF

UK-PACT 2.0 tangani perubahan iklim, tumpu pasaran karbon negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia memperkukuh usaha dalam menangani perubahan iklim dengan kerjasama menerusi United Kingdom (UK) Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT) 2.0.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, fasa baharu itu memberi tumpuan kepada pembangunan kewangan hijau serta pasaran karbon negara.

“Program UK PACT 2.0 hadir pada masa yang sangat tepat. Portfolio ini bakal menyediakan sokongan bersasar dalam bidang yang penting untuk peralihan iklim Malaysia khususnya kewangan hijau dan pasaran karbon.

“Ini bukan keutamaan yang abstrak, tetapi pemangkin yang akan menggerakkan modal, merangsang inovasi dan mempercepatkan usaha kita menuju sasaran sifar bersih,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program UK-PACT di Hotel Double Tree Hilton, di sini hari ini.

Johari berkata, gabungan kepimpinan dasar Malaysia bersama kepakaran teknikal dan rangkaian global UK dapat mewujudkan sebuah platform untuk pembelajaran bersama dan kemajuan kolektif.

Katanya, antara bidang tumpuan UK PACT 2.0 ialah meningkatkan kapasiti Malaysia untuk mengendalikan skim perdagangan pelepasan domestik serta membuat persediaan bagi pelancaran mekanisme Forest Carbon Offset (FCO) oleh Malaysia Forest Fund (MFF).

“Antara lain, kerjasama itu bertujuan memperbaiki strategi kewangan hijau bagi meningkatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid kuasa,” jelasnya.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, H.E. Ajay Sharma berkata, program UK PACT dijangka membantu Malaysia mencapai sasaran iklim dan membangunkan ekonomi hijau secara mampan.

“Ini adalah contoh jelas kerjasama erat antara UK dan Malaysia. Kerjasama ini akan meningkatkan kemakmuran, keselamatan rakyat dan membantu melindungi persekitaran,” ujarnya.

Dengan peruntukan sehingga £2.9 juta (RM15.9 juta) bagi tahun kewangan 2025/2026 dan 2026/2027, UK PACT 2.0 menyediakan hala tuju strategik bagi sektor awam dan swasta melalui pembangunan kewangan hijau.

Selain itu, meningkatkan pelaburan dalam teknologi penyimpanan tenaga dan infrastruktur grid serta memperkukuh mekanisme pasaran karbon serta kapasiti institusi berkaitan alam semula jadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI