MADRID – Bintang Real Madrid, Jude Bellingham sekali lagi menyatakan pendiriannya untuk kekal berada teguh di belakang pengendali pasukan, Xabi Alonso yang kini berada dalam situasi penuh tekanan.
Masa depan Alonso terus diperkatakan selepas Real mengalami kekalahan 1-2 kepada Manchester City pada aksi keenam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Bellingham menegaskan, bilik persalinan akan terus menyokong Alonso dan segalanya bergantung kepada pemain untuk mengubah nasib pasukan yang kini berada dalam situasi tidak bagus.
“100 peratus, pengurus adalah individu hebat dan secara peribadi, saya memiliki hubungan yang cukup baik dengannya. Saya tahu pemain lain juga akan melakukan perkara sama.
“Tiada siapa pun yang merungut dan kami akan meneruskan perjuangan. Apa yang berlaku di luar langsung tidak membantu sebaliknya kami akan terus melaksanakan tugas kami.
“Kami perlu ubah situasi dalam bilik persalinan, kami juga perlukan sedikit nasib dan adakan perbincangan secara dalaman. Walaupun tidak berada pada prestasi terbaik, musim ini belum berakhir buat kami,” katanya. – AGENSI














