PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan hari ini berhujah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah dalang atau ‘mastermind’ dalam perlakuan pecah amanah jenayah
dana dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah, Mahkamah Rayuan juga telah gagal melihat setiap keterangan mengikut kronologi kes sekali gus tidak dapat menilai kesemua keterangan secara objektif dan menyeluruh.
“Apabila Mahkamah Rayuan gagal melihat keterangan mengikut kronologi kes, berlakunya pemutusan rantaian keterangan yang relevan sedangkan kesemua keterangan itu menjurus kepada kesalahan persubahatan. Syed Saddiq telah memberikan arahan untuk mengeluarkan wang milik Armada disebabkan alasan-alasan yang jahat dan tidak jujur.
“Malah, keterangan saksi ke-13, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak akan mengeluarkan wang tersebut sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq,” kata Wan Shaharuddin.
Berhujah lanjut, Wan Shaharuddin berkata, Mahkamah Rayuan terdahulu gagal menilaikan keseluruhan keterangan yang memihak kepada pendakwaan apabila dari awal telah bertindak membuat suatu inferens yang tidak berlandaskan kepada keterangan dengan membuat dapatan bahawa saksi utama pendakwaan ke – 13 (SP13) telah memberikan keterangan untuk menenangkan hati (appease) pihak SPRM dan menyesuaikan (tailored) kepada kehendak SPRM.
“Ini merupakan suatu allegations yang amat serius oleh Mahkamah Rayuan apabila membuat inferens yang tidak berlandaskan undang-undang apabila mengatakan keterangan
SP13 adalah untuk menyesuaikan (tailored) kepada versi pihak pendakwaan,’ katanya.
Berhujah lanjut, Wan Shaharuddin memberitahu Mahkamah Rayuan tidak boleh pick and choose (ambil dan pilih) keterangan apa yang Mahkamah Rayuan rasa perlu dan sesuai di dalam membuat keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan Syed Saddiq.
“Mahkamah Rayuan mengambil langkah untuk memilih keterangan yang memihak responden sahaja dan hanya memilih hujahan peguambela pihak responden sahaja dalam membuat
keputusan.
“Adalah hujahan kami apabila Mahkamah Rayuan sepatutnya pertimbangkan kesemua keterangan pihak pendakwaan yang ada dalam rekod-rekod rayuan dan bukannya melakukan pemilihan keterangan yang Mahkamah Rayuan rasa perlu dan sesuai diambil kira,” tegasnya.
Dalam isu lain, Wan Shaharuddin berkata, panel Mahkamah Rayuan sepatutnya melihat keterangan tiga saksi pendakwaan terbabit yang menyatakan mereka tiada motif untuk mengenakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Mereka adalah pemilik sebuah syarikat pembekalan pakaian dan aksesori, Muhammad Naqib Ab Rahim, 32; bekas EXCO Armada, Abdul Hannaan Khairy; bekas Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi; dan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali.
“Saksi pendakwaan ini adalah rakan Syed Saddiq dan menyatakan bahawa mereka tiada motif untuk mengenakan dan ‘menambah perencah’ dalam keterangan mereka. Jika hendak menyatakan semua ini sudah diatur, kena tunjukkan ada perbalahan. Ketika diperiksa balas, Syed Saddiq sendiri menyatakan hubungan dengan saksi adalah baik.
“Malah sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi, saksi pendakwaan iaitu Rafiq datang bertemu Syed Saddiq untuk memperagakan baju Melayu,” katanya.
Prosiding berhubung pembebasan Syed Saddiq, 33, di Mahkmah Persekutuan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim bersambung lagi esok.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. KOSMO! ONLINE














