BANGKOK – Impian skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk mengesahkan slot separuh akhir Sukan SEA terpaksa ditangguhkan seketika apabila tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.
Sebelum aksi bermula, skuad negara hanya memerlukan keputusan seri namun jaringan Vietnam seawal minit ke-10 seakan memberikan kesan kepada corak permainan anak buah Nafuzi Zain.
Kekalahan ini memaksa skuad negara terpaksa menanti keputusan akhir aksi Kumpulan C antara Indonesia dan Myanmar yang dijadualkan berlangsung esok.
Terdahulu, Vietnam berada di depan menerusi tandungan Nguyen Hieu Minh sebelum Pham Minh Phuc melengkapkan gol kedua skuad Naga Emas pada minit ke-22.
Perubahan yang dilakukan menyaksikan aksi lebih positif buat skuad negara di babak kedua manakala Vietnam yang sudah pun ada kelebihan dua gol selesa bermain dengan serangan balas.
Bagaimanapun, Vietnam kembali dengan permainan agresif dan beberapa kali menghadirkan situasi bahaya buat benteng pertahanan skuad negara.
Selain Vietnam yang sudah mengesahkan slot ke separuh akhir, Thailand dan Filipina turut menempah laluan lebih awal apabila masing-masing menjuarai Kumpulan A dan C.
Sementara itu, skuad wanita negara terus menjadi mangsa belasahan apabila tewas 0-6 kepada Filipina. – KOSMO! ONLINE














