fbpx
AKSI memukau trio kata negara di Sukan SEA Thailand 2025.

Sukan SEA: Trio kata sambar pingat perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad karate berpasukan lelaki negara membuktikan mereka bukan sekadar ‘pelengkap jadual’ apabila berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2025, hari ini.

Kejayaan itu dianggap di luar jangkaan memandangkan trio kata negara yang dibarisi Mohamad Aiqal Asmadie, Luqman Syah Jasman Syah dan Mohamad Haznil Henry tidak diletakkan sebarang sasaran untuk mara sehingga ke pentas final.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Bangunan Kompleks Kerajaan Ratthaprasasanphakdi itu, skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan pasukan tuan rumah, Thailand.

Malaysia berjaya mengutip 23.3 mata untuk berpuas hati di kedudukan kedua, manakala Thailand memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menyambar emas dengan kutipan 24.5 mata.

Jurulatih kata negara, Mohd. Norfarhan Nordin menyifatkan kejayaan itu sebagai satu permulaan yang amat positif, memandangkan pasukan itu baru sahaja dibentuk dalam tempoh setahun.

“Bagi saya ini satu permulaan yang baik. Mereka memberikan lebih daripada apa yang kita perlukan (sasarkan).

“Ini pencapaian terbaik mereka kerana pada edisi di Kemboja lalu, kita hanya menghantar pasukan kata wanita dan individu lelaki. Jadi, ini pencapaian membanggakan bagi penyertaan pertama pasukan lelaki ini,” katanya.

Jelas Mohd. Norfarhan, momentum ini penting sebagai landasan utama dalam mempersiapkan skuad yang lebih ampuh menjelang temasya di laman sendiri dua tahun lagi.

“Ini langkah pertama kita menuju ke Sukan SEA 2027. Saya akan pastikan pasukan kita akan memberikan yang ‘habis baik’ apabila Malaysia menjadi tuan rumah nanti,” ujarnya.

Sementara itu, kem kata negara turut menutup tirai saingan dengan senyuman apabila skuad berpasukan wanita yang dianggotai Lovelly Anne Robberth, Niathalia Sherawinnie Anak Yampil dan Naccy Nelly Evvaferra Rojin berjaya membawa pulang pingat gangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN