BANGKOK – Persatuan Berbasikal Thailand (TCA) meletakkan harapan cukup tinggi pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 apabila menyasarkan enam pingat emas keseluruhan meliputi disiplin trek, lebuh raya, mountain bike (MTB) dan BMX.
Difahamkan, mood dalam kem berbasikal Thailand cukup baik ketika ini selain mendapat suntikan semangat menerusi sokongan daripada persatuan, kemahuan tinggi atlet serta naik taraf venue pertandingan.
Presiden TCA, Gen Decha Hemkrasri menegaskan, tiada alasan untuk skuad berbasikal Thailand gagal mencapai sasaran diletakkan selepas diberikan segala kemudahan termasuk elaun serta kelengkapan sukan.
“Kita berikan segala yang diminta barisan atlet kerana kita mahu mereka sentiasa berada dalam keadaan bersemangat. Saya fikir enam pingat emas dalam sukan berbasikal merupakan sasaran yang realistik.
“Sekarang terpulang kepada semua atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik sebaik sahaja acara bermula nanti. Seandainya mendapat lebih daripada sasaran, itu merupakan satu bonus,” katanya.
Setakat hari pertama berlangsung acara berbasikal bukit semalam, Thailand sudah berjaya menyapu dua pingat emas menerusi pelumba MTB downhill lelaki dan wanita, Methasit Boonsane dan Vipavee Deekaballes.
Sementara itu, Jai Angsuthasawit yang merupakan pemenang pingat emas acara keirin pada Sukan Asia 2018 melaungkan amaran awal apabila menyuarakan keyakinan mampu menyumbang dua pingat emas buat Thailand.
“Fizikal saya sudah bersedia 100 peratus dan saya yakin untuk mendapatkan dua pingat emas buat negara menerusi acara keirin dan pecut berpasukan lelaki. Apa yang penting sekarang adalah sokongan daripada peminat,” ujarnya. – AGENSI














