BANGKOK – Hasrat jaguh taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber untuk melengkapkan ‘hatrik’ pingat emas di pentas Sukan SEA tidak kesampaian apabila tumpas di tangan atlet tuan rumah, Chaichon Cho dalam aksi final, hari ini.
Beraksi buat kali pertama dalam kategori lelaki bawah 87 kilogram (kg), Syafiq terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas tipis 1-2 dalam pertarungan sengit di atlet Thailand tersebut.
Syafiq yang sebelum ini mendominasi kategori bawah 80kg dengan dua pingat emas berturut-turut di Vietnam dan Kemboja, mengakui bahawa hanya sedikit kesilapan taktikal pada pusingan kedua telah membuka ruang pihak lawan membaca gerakkannya.
“Mungkin ada sedikit kesilapan yang saya buat sebab lawan senang nak lakukan serang balas dan mudah nak baca pergerakan saya. Dari situ, lawan saya senang nak dapat mata,” katanya selepas tamat perlawanan.
Biarpun gagal mempertahankan emas, pemenang gangsa Sukan SEA Filipina 2019 itu tetap bersyukur dengan pencapaiannya dalam penampilan keempat di temasya dwitahunan tersebut.
“Pertama sekali saya nak ucap syukur, saya dah beri yang terbaik hari ini. Rezeki bukan milik saya untuk kali ini. Siapa saja nak kalah kan? Tapi saya kena reda, ini rezeki saya,” ujarnya.
Syafiq kini berazam memperkemaskan aspek fizikal dan teknik bagi memastikan beliau kembali lebih ampuh apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027. -KOSMO! ONLINE














