fbpx
JING XUAN tekad memberikan aksi terbaiknya pada saingan di Stadium Supachalasai esok. - IG NJXUAN04

Sukan SEA: Rekod 11 tahun sasaran Jing Xuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REKOD kebangsaan 49.34 meter (m) milik Siti Nur Nadiah Othman yang berusia lebih sedekad menjadi sasaran atlet rejam lembing wanita negara, Ng Jing Xuan pada Sukan SEA Thailand kali ini.

Atlet berusia 21 tahun itu bakal menggalas cabaran negara dengan motivasi cukup tinggi apabila turut memasang impian menjadi wanita Malaysia pertama yang melakukan rejaman melepasi jarak 50m.

Jing Xuan menegaskan, dia hadir ke Sukan SEA ke-33 bukan sekadar pelengkap kerana prestasinya musim ini cukup baik apabila melakukan catatan terbaik peribadi (PB) 49.11m pada Kejohanan Olahraga Filipina yang berlangsung Mei lalu.

“Motivasi saya ke Sukan SEA untuk menjadi atlet wanita pertama negara yang melakukan catatan 50m. Impian ini saya akan cuba lakukan ketika beraksi pada Sukan SEA di Bangkok.

“Sudah tentu harapan saya untuk memperbaharui PB serta memecahkan rekod kebangsaan. Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana akan berdepan cabaran daripada atlet-atlet negara lain,” katanya.

Sebagai rekod, catatan 49.34m dipegang Nur Nadiah ketika ini sudah bertahan selama 11 tahun selepas melakukannya pada 8 Mei 2014 ketika beraksi di Terbuka Thailand.

Sementara itu, Jing Xuan yang berada di tempat keempat pada Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu mengakui, atlet Thailand, Jariya Wichaidit merupakan pilihan utama untuk meraih emas kerana memiliki PB 56.63m.

“Jurang antara kami memang besar dan dia (Jariya) merupakan pilihan utama pada Sukan SEA kali ini. Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik dan mengejar kedudukannya selagi mampu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN