BANGKOK – Segala tumpuan kini terarah kepada pelari pecut muda sensasi negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee apabila gelanggang olahraga temasya Sukan SEA Thailand membuka tirai hari ini.
Biarpun ini adalah debut atlet berusia 18 tahun itu tetapi Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2024 tersebut menjadi taruhan terbaik untuk mencetus kejutan dalam acara riben biru 100 meter (m) di Stadium Supachalasai hari ini.
Danish yang memiliki catatan peribadi terbaik 10.26 saat (s), memiliki pakej untuk melakar kejutan biarpun laluannya tampak sukar apabila bakal berdepan raja pecut tuan rumah, Puripol Boonson dan bintang Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.
Ketua jurulatih negara, Mohd. Manshahar Abdul Jalil pantas meredakan tekanan dengan menuntut pemerhati sukan mahupun peminat agar bersikap realistik mengenai peluang pelari muda tersebut.
“Orang ramai atau sesiapa pun boleh meletakkan jangkaan sebab pencapaian diraihnya, tetapi kami melihat secara keseluruhan. Kami bukan saja melihat kepada jangkaan, tetapi merujuk kepada data, fakta dan statistik.
“Orang boleh buat pelbagai andaian tapi data statistik yang benar-benar tepat adalah perkara yang perlu dikaji semula. Ia perkara biasa dilalui atlet dan jurulatih, biarlah atlet muda ini bertanding dulu,” katanya.
Manshahar berkata, proses bersaing itu sendiri penting dalam membentuk keyakinan dan hala tuju atlet muda untuk masa depan yang lebih cerah.
“Atlet-atlet muda mungkin kurang pengalaman, tetapi saya selalu nasihatkan mereka bersaing dalam keadaan tenang. Walaupun pelbagai tekanan, jadikan ia medan langkah pertama.
“Pernah saja atlet kali pertama bertanding berjaya memenangi pingat, tiada yang mustahil. Tekanan boleh dirasai semua termasuk atlet senior yang sudah menang pingat beberapa kali kerana harapan terhadap mereka terlalu tinggi,” katanya.
Tumpuan turut terarah kepada pembawa Jalur Gemilang, Andre Anura Anuar (lompat jauh dan kijang), Umar Osman (400m), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Grace Wong (baling tukul besi wanita), kesemuanya pemenang emas di Kemboja dua tahun lalu.
Cabaran beberapa nama berpengalaman lain seperti Jackie Wong (baling tukul besi), Queenie Ting (lempar cakera) dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah) juga tidak boleh diketepikan selepas mereka meraih perak edisi 2023 untuk menukar warna emas kali ini. – KOSMO! ONLINE














