SKUAD bawah 23 (B-23) negara mempunyai formula terbaik untuk memburu slot automatik ke separuh akhir Sukan SEA 2025 pada aksi ‘hidup mati’ saingan Kumpulan B menentang Vietnam di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini.
Ketua jurulatih skuad muda Harimau Malaya, Nafuzi Zain mengakui pasukannya tidak akan menggunakan prinsip ‘parkir bas’ walaupun sedar keputusan seri sudah cukup untuk mara ke kelompok empat negara terbaik buat kali pertama sejak edisi 2021.
Kata Nafuzi, fokus pasukan adalah untuk tidak tewas dan mempamerkan falsafah bola sepak yang sudah dirancang dalam misi mengecewakan skuad Naga Emas itu nanti.
“Kita pasti mahu bermain untuk menang walaupun seri, kita tetap menjadi juara kumpulan. Apa yang penting, kita tidak tewas dan saya tidak mahu pasukan beraksi secara bertahan kerana kita tahu kualiti Vietnam.
“Saya harap pemain tidak terlalu ghairah untuk menyerang sebaliknya cuba untuk bermain dengan lebih bijak,” katanya.
Mengulas lanjut, Nafuzi turut mengesahkan skuad negara terpaksa melupakan khidmat penyerang utama, Haqimi Azim Rosli yang tidak sempat untuk menyertai pasukan selepas diberikan cuti ihsan susulan kematian bapa tirinya kelmarin.
“Untuk perlawanan kali ini, Haqimi tidak sempat bersama kita tetapi jika kita dapat layak ke separuh akhir, dia akan kembali menguatkan pasukan nanti,” katanya.
Temasya dwitahunan berprestij Asia Tenggara itu boleh dianggap sebagai ‘talian hayat’ terakhir Nafuzi selepas dikritik hebat gagal menjelmakan kejayaan sejak dilantik menjadi pengendali skuad B-23 pada awal tahun ini.
Kali terakhir skuad B-23 negara menang pingat emas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Penyerang muda Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan mengakui sedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan Haqimi selepas tidak beraksi pada aksi pertama menentang Laos, Sabtu lepas.
“Setiap perlawanan ada tekanan masing-masing tetapi sebagai pemain, kita kena bijak mengawal tekanan. Rakan-rakan juga sudah buat aksi yang terbaik sebelum ini dan saya harap, lawan Vietnam nanti kita boleh beri seratus peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE














