fbpx
BARISAN pemain tetap ceria meraikan kejayaan memenangi pingat perak berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 semalam. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Kecewa aksi longlai berpasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Kekalahan skuad badminton lelaki negara di pentas final Sukan SEA Thailand 2025 mencetuskan kebimbangan terutama persiapan menjelang kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark bermula 23 April tahun depan.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menuntut barisan pemainnya segera memperbaiki kelemahan selepas tumbang 0-3 kepada seteru tradisi, Indonesia pada final acara berpasukan lelaki di Universiti Thammasat, Bangkok semalam.

Menurut pengendali dari Denmark itu, masa semakin suntuk buat kem negara memandangkan kejohanan berprestij tersebut bermula 23 April depan, kira-kira empat bulan sahaja lagi.

Jelasnya, kekalahan mudah kepada Indonesia mendedahkan banyak kelemahan ketara perlu diatasi dengan pantas jika mahu kekal relevan sebagai pencabar utama.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan apa yang diperagakan dalam acara berpasukan. Kami perlu perbaiki banyak perkara dan ia perlu dilakukan segera jika mahu memiliki peluang realistik untuk mencabar di Piala Thomas nanti.

“Sudah tentu saya kecewa. Walaupun marah bukan perkataan tepat kerana saya tahu mereka sudah berusaha, namun prestasi ini membuka mata saya mengenai aspek yang perlu diperbaiki jika kita benar-benar mahu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam aksi final tersebut, jurang kualiti permainan jelas kelihatan apabila perseorangan utama, Leong Jun Hao gagal menyaingi kehebatan Alwi Farhan sebelum tewas 12-21, 19-21.

Kekecewaan negara bertambah apabila beregu utama yang menjadi sandaran emas, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas straight set 12-21, 12-21 kepada ranking kelapan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Nasib malang berterusan apabila perseorangan kedua, Justin Hoh tunduk 12-21, 14-21 kepada Muhammad Zaki Ubaidillah, sekali gus membiarkan pingat emas terlepas ke tangan Indonesia.

Mengulas lanjut, Jonassen mahu kekalahan itu dijadikan pengajaran berguna dan pembakar semangat buat pemain untuk memberikan komitmen yang lebih tinggi dalam sesi latihan.

Kegagalan meraih emas menyaksikan kemarau kejuaraan skuad berpasukan lelaki negara di Sukan SEA berpanjangan sejak kali terakhir dimenangi pada edisi Manila 2005.

Ia juga merekodkan kekalahan keempat Malaysia kepada Indonesia dalam lima pentas final terakhir temasya dwitahunan itu selepas edisi 2017, 2019 dan 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN