fbpx
AKHIMULLAH (kanan) membuktikan ketajaman penyudah dengan meledak hatrik menewaskan Indonesia 7-3 pada aksi final semalam. - FARIZ RUSADIO

Sukan SEA: Emas hoki 5s bukti tahap Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara menepati ramalan muncul juara Sukan SEA Thailand 2025 selepas membenam musuh tradisi, Indonesia 7-3 di pentas final semalam.

Kemenangan penuh bergaya di Royal Thai Air Force, Bangkok itu bukan sahaja menamatkan kempen skuad negara tanpa sebarang kekalahan, malah melakar sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia bagi edisi ke-33 kali ini.

Dalam aksi tersebut, penyerang berbisa, Mohamad Akhimullah Anuar Esook membuktikan statusnya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Dunia Hoki 5s 2024 dengan hatrik pada minit ketujuh, ke-17 dan ke-29.

Empat lagi gol skuad negara disumbangkan oleh Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (m8, m22), Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (m14) serta jaringan pelengkap daripada Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-30.

Pengendali Malaysia, Wan Mohd. Roslan Wan Abd. Rahman meluahkan rasa syukur dengan kejayaan tersebut sambil menyifatkan anak-anak buahnya telah mempamerkan disiplin tinggi, terutamanya apabila diasak lawan pada separuh masa kedua.

“Syukur Alhamdulillah, saya amat berbangga hoki 5s berjaya menyumbang pingat emas pertama negara. Ini adalah sejarah kerana hoki 5s kali pertama dipertandingkan dan pemain membuktikan kewibawaan dengan keputusan yang baik sejak peringkat kumpulan lagi.

“Indonesia cuba bangkit pada separuh masa kedua, namun kita sudah ingatkan pemain supaya kekal dengan rentak hoki 5s walaupun diasak pemain Indonesia.

“Kunci utama hari ini adalah pemain menyerap setiap asakan dan menjaringkan gol penting,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Indonesia yang cuba memberi tentangan sengit meraih tiga gol menerusi Mochamad Fathur (m-19) dan dua gol pantas Alfandy Prastyo pada minit ke-24. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN