fbpx
Gambar hiasan.

Subsidi 300 liter Budi95 mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Had kelayakan subsidi sebanyak 300 liter sebulan di bawah subsidi petrol RON95 (Budi95) adalah mencukupi dan wajar bagi menampung keperluan penggunaan peribadi majoriti rakyat Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data kerajaan sebelum permulaan penyasaran subsidi, 99 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan.

“Sejak pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, penerima Budi95 bagi penggunaan persendirian mencatatkan purata penggunaan sebanyak 98 liter sebulan, iaitu hanya 33 peratus daripada had kelayakan bulanan yang ditetapkan.
“Majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Oleh itu, perjalanan harian mereka akan terus dilindungi sepenuhnya di bawah kadar RM1.99 seliter,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berhubung rasional pelaksanaan Budi95 yang menetapkan harga RM1.99 bagi 300 liter pertama dan kembali kepada harga apungan RM2.60 bagi penggunaan melebihi 300 liter, berbanding penetapan harga berperingkat seperti RM2.10 atau RM2.30.

Amir Hamzah berkata, kerajaan berpandangan penetapan harga berperingkat pada paras RM2.10 atau RM2.30 selepas kuota masih mengekalkan elemen subsidi yang tidak efisien, sekali gus meningkatkan risiko ketirisan serta tidak menyumbang kepada pengukuhan kedudukan fiskal Kerajaan.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memantau secara teliti pola dan corak penggunaan ini serta menilai semula had berkenaan dari semasa ke semasa.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95 sentiasa diperhalusi dan diperkukuh demi manfaat rakyat serta kelestarian fiskal negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI