fbpx
Johari ketika berucap pada Majlis Pelancaran UK Partnering for Accelerated Climate Transitions 2.0 di Double Tree Hilton Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF

Sektor minyak sawit sedia untuk pasaran karbon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sektor minyak sawit berada pada kedudukan yang baik untuk menyertai pasaran karbon, memandangkan ia sudah mengintegrasikan amalan kelestarian dan ekonomi sirkular.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun minyak sawit belum mempunyai sistem kredit karbon tersendiri, namun kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengambil kira pengurangan pelepasan termasuk membendung penebangan hutan.

“Bagi sektor minyak sawit, saya terus mengarahkan agar tiada penebangan hutan sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian kita, memandangkan ia adalah salah satu penyumbang utama ekonomi negara. Kita mahu memastikan minyak sawit yang dieksport adalah sepenuhnya lestari.

“Dalam sektor lain, seperti pembuatan, kita boleh menggalakkan penggunaan tenaga solar yang lebih meluas sebagai sebahagian daripada campuran tenaga mereka. Lama-kelamaan, dan menjelang 2050, kita berharap melalui usaha ini, kita dapat mencapai kejayaan dan sasaran pelepasan sifar bersih,” katanya.

Johari berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan fasa kedua dana Malaysia-United Kingdom (UK) Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT), di sini hari ini.

Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, sektor minyak sawit telah mula memaksimumkan kecekapan sumber dengan menangkap sisa kumbahan kilang sawit dan menukarnya menjadi biogas.

Katanya, minyak masak terpakai pula dikumpul dan diproses sebagai bahan mentah untuk bahan api penerbangan lestari.

“Batang pokok sawit daripada program penanaman semula kini digunakan untuk pengeluaran perabot, dan tandan kosong buah sawit pula ditukar menjadi pelet untuk tenaga hijau.

“Ini adalah inisiatif utama ekonomi sirkular dalam sektor perladangan, dan langkah seterusnya ialah memperluaskannya ke industri hiliran,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan cukai karbon, yang perlu melalui proses kelulusan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) terlebih dahulu.

“Kita akan memberi taklimat secara menyeluruh dan Kementerian Kewangan serta semua pemegang taruh akan menggerakkan proses dan menentukan pendekatan yang sesuai. Mekanismenya akan berkembang berdasarkan dinamik bekalan pasaran,” katanya.

Menurut Johari, RUUPIN dijangka akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen tahun hadapan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI