MADRID – Legenda Sepanyol, Sergio Ramos dilaporkan sudah diberikan tawaran untuk menyertai Manchester United pada awal bulan depan.
Menerusi laporan Cadena SER, bekas bintang Paris Saint-Germain dan Real Madrid itu masih belum memuktamadkan keputusan kerana wujud keraguan terhadap potensi mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak.
Namun, berdasarkan kenyataan pernah dibuat Ramos sebelum ini, menyertai The Red Devils dan bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi salah satu daripada hajatnya yang tertangguh.
“Saya pernah hampir menyertai United dan ayah saya juga seorang penyokong mereka, namun saya kekal bersama Real Madrid. Namun, saya kekal kagum dengan United dan teringin bermain di EPL.
“Untuk pemain, ia adalah disebabkan rentak permainan yang berbeza dan ia juga adalah liga yang membolehkan pemain belajar banyak perkara,” katanya.
Ramos baru sahaja mengakhiri perjalanan kariernya bersama kelab Mexico, Monterrey, namun belum berhasrat untuk ‘menggantung but’, sebaliknya sedang menilai pilihan terbaik untuk meneruskan perjalanannya di peringkat tertinggi.
“Mengucapkan selamat tinggal bukan mudah. Saya akan sentiasa mengingat perjalanan saya di sini dan kekal bangga untuk melaungkan ‘Arriba el Monterrey!’ (semangat buat Monterry),” kata Ramos semasa mengumumkan perpisahannya sebelum ini. – AGENSI














