KUALA TERENGGANU – Seorang tukang kebun terkedu niatnya untuk membuat pinjaman berakhir dengan dia yang tertipu RM61,812 akibat terperdaya oleh skim pembiayaan peribadi yang tidak wujud.
Tambah parah, wang yang diserahkan lelaki berusia 30 tahun tersebut kepada sindiket penipuan atau ‘scammer’ berkenaan merupakan pinjaman daripada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, tukang kebun berkenaan berhasrat untuk membuat pinjaman secara dalam talian.
“Dia kemudiannya mengikut arahan suspek agar membuat pembayaran kononnya sebagai syarat pemberian pinjaman.
“Pembayaran menggunakan wang yang dipinjam daripada ahli keluarganya tersebut dilakukan pada 27 November lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pindahan wang berkenaan dilakukan sebanyak 27 kali ke dalam enam akaun bank berasingan.
Beliau berkata, tukang kebun itu hanya menyedari tertipu apabila tidak memperolehi wang pinjaman yang dijanjikan.
“Mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 5.04 petang, semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














