fbpx
Mohd. Khalid

Perjumpaan PDRM-Indira Gandhi: Komitmen diteruskan ikut lunas undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen untuk terus menghormati serta mematuhi setiap arahan mahkamah, termasuk usaha berterusan mengesan anak kepada Indira Gandhi mengikut lunas undang-undang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya turut mengalu-alukan bantuan serta maklumat orang awam bagi melancarkan proses pencarian, dengan jaminan bahawa setiap maklumat akan diteliti secara profesional.

“PDRM menegaskan komitmen untuk terus memberi kerjasama penuh dan memastikan setiap tindakan yang diambil selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, satu perjumpaan antara PDRM dan rombongan Indira Gandhi telah berlangsung di Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman pada pukul 4.40 petang.

Rombongan tersebut turut disertai Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, Pasukan Tindakan Indira Gandhi, Arun Dorasamy serta dua anak Indira Gandhi.

Dalam pertemuan itu, Kulasegaran memohon agar PDRM meneruskan sokongan penuh dalam usaha mengesan anak Indira yang masih belum ditemui, manakala Indira dan Arun turut menyuarakan harapan agar usaha tersebut dipergiatkan.

Kes Indira Gandhi bermula pada 2009 apabila bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah (sebelumnya K. Pathmanathan), memeluk Islam secara unilateral dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira, sebelum melarikan anak bongsu mereka, Prasana Diksa, yang ketika itu berusia 11 bulan.

Walaupun mahkamah mengeluarkan beberapa perintah termasuk perintah mandamus supaya polis mengesan dan memulangkan Prasana, sehingga kini kanak-kanak itu masih tidak ditemui.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 turut memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak tanpa persetujuan kedua ibu bapa adalah tidak sah.

Pada 28 Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Indira terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan berhubung dakwaan kegagalan melaksanakan perintah mahkamah, selepas mahkamah memutuskan polis tidak cuai dalam usaha mengesan bekas suami dan anaknya itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI