GOMBAK – Seorang pelajar tingkatan tiga ditahan polis selepas didakwa mengugut mahu mencederakan rakan sekolahnya dengan menggunakan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa.
Difahamkan, mangsa tampil membuat laporan selepas suspek dipercayai membulinya sejak mereka berada di tingkatan satu, termasuk meminta wang.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














