PUTRAJAYA – Malaysia akan menyalurkan sumbangan berjumlah RM500 seorang kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan terkesan akibat bencana yang menimpa Aceh dan Sumatera Utara.
Pejabat Perdana Menteri berkata, sumbangan permulaan itu dibuat berlandaskan rasa ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan.
“Sebagai tanda ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan, Malaysia akan menyalurkan sumbangan RM500 seorang.
“Ia sebagai permulaan kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan terkesan akibat bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Pejabat Perdana Menteri berkata, pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan boleh mendaftar dengan institusi pengajian masing-masing bagi membolehkan bantuan diselaras dan disalurkan mengikut keperluan mereka.
“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya atas bencana yang menimpa Aceh dan Sumatera Utara, dan bersolidariti bersama saudara kita yang sedang melalui detik sukar ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














