KUALA NERUS – Seorang pekerja kimpalan maut selepas tertindih bakul besi jengkaut ketika bekerja di tapak projek pembinaan pemecah ombak di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, hari ini.
Kejadian yang meragut nyawa mangsa, Mohd. Rosli Awang, 54, itu berlaku pada pukul 9.48 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ketika kejadian, Mohd. Rosli bersama seorang rakannya sedang melakukan kerja-kerja mematri besi penyesuai pada bakul besi jengkaut.
“Bakul besi itu terbalik secara tiba-tiba lalu menimpa belakang mangsa. Rakan mangsa segera mengalihkan bakul, namun lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat Mohd. Rosli dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Zainal Abidin untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














