SEREMBAN, – Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 19,264 pesakit mental dari tahun 2021 hingga kini dengan Seremban mencatat jumlah tertinggi iaitu 11,090 pesakit.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH-Ampangan) berkata daerah lain yang turut merekodkan pesakit mental ialah Kuala Pilah (2,456), Port Dickson (2,174), Jempol (1,039), Tampin (1,008), Rembau (812) dan Jelebu (685).
“Data hospital kerajaan setakat ini juga menunjukkan 285 pesakit skizofrenia, 319 pesakit kemurungan dan sembilan pesakit kebimbangan sedang menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Chew She Yong (PH-Lobak) dalam Sesi Pertanyaan Lisan (Hari Kelima) Persidangan (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban di sini hari ini.
Tengku Zamrah berkata Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tiga Pusat Komuniti Kesihatan Mental (Mentari) iaitu di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.-KOSMO! ONLINE














