ALOR GAJAH – Kerajaan negeri Melaka sedang meneliti cadangan pembinaan jambatan Melaka – Indonesia, yang dijangka membolehkan perjalanan antara kedua-dua negara hanya mengambil masa sekitar 40 minit dari titik terdekat di Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kajian kebolehupayaan dan keberkesanan jambatan, termasuk aspek sebagai pemangkin ekonomi sedang dijalankan oleh syarikat perunding dengan kos sekitar RM500,000.
Katanya, dapatan kajian itu dijangka dibentangkan kepadanya pada bulan hadapan sebelum dibawa kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dan seterusnya ke pihak Indonesia untuk penilaian lanjut.
“Titik yang paling hampir dengan Indonesia ialah di Pengkalan Balak, yang mengambil jarak hanya 47.7 kilometer atau sekitar 40 minit. Pastinya, lebih dekat adalah lebih murah.
“Insya-Allah, saya yakin kalau ia menjadi kenyataan, ini adalah merupakan pintu gerbang dunia (the world gateway) yang terakhir dalam dunia ini menghubungkan Malaysia dan Indonesia,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kilang kedua EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan pengeluaran pemasangan pertama GWM MPB WEY G9 di sini, hari ini.
Katanya, projek itu dijangka membuka peluang pekerjaan, memperkukuh pembangunan ekonomi serantau serta meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Pasti (pertumbuhan ekonomi) jauh lebih besar. Kita akan buka peluang pekerjaan kerana kerajaan negeri bercadang untuk mengambil alih 5,000 hektar kawasan Masjid Tanah ini sebagai kawasan perindustrian baru.
“Memandangkan projek ini bakal dibangunkan di Masjid Tanah, di mana juga bakal wujud Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), sekali gus ekonomi biru di kawasan itu dijangka memberi pulangan baik kepada kerajaan negeri,”
ujarnya.














