IPOH – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak tirinya yang menghidap sindrom Down, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 40 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut terhadap anak lelaki tirinya yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Bandar Universiti dalam daerah Perak Tengah pada pukul 7 malam, 2 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga.
Beliau turut mencadangkan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. – KOSMO! ONLINE














