fbpx
Ahmad Zahid (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Anutin di Bangkok, Thailand hari ini.

Malaysia harap Thailand-Kemboja patuhi gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul, bagi membincangkan perkembangan keselamatan serantau.

Pertemuan yang berlangsung di Bangkok, Thailand itu bersempena Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN berhubung pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia amat prihatin terhadap situasi yang sedang berlaku dan berharap segala usaha penyelesaian dapat dilakukan demi keselamatan orang awam serta kestabilan wilayah.

“Selaras dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyatakan bahawa semua pihak mesti mengutamakan
keselamatan rakyat serta kembali kepada saluran diplomasi dan pematuhan undang-undang antarabangsa bagi meredakan keadaan yang semakin membimbangkan.

“Malaysia juga berharap Thailand dan Kemboja terus komited memastikan gencatan senjata dipatuhi dan melaksanakan sepenuhnya Kuala Lumpur Peace Accord (Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur) demi menjamin keselamatan komuniti di kedua-dua belah sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Anutin turut menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama Malaysia–Thailand dalam kesiapsiagaan dan tindak balas bencana rentas sempadan.

Menurutnya, selaras persetujuan pertengahan tahun ini, kedua-dua negara akan meningkatkan perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi antara agensi serta latihan bersama dalam menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana lain.

Kata Ahmad Zahid, Malaysia dan Thailand juga membincangkan potensi perluasan kerjasama dalam bidang TVET, khususnya latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah.

“Kerjasama TVET ini mampu meningkatkan peluang pekerjaan, memantapkan pembangunan modal insan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

“Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama industri halal termasuk pembangunan rantaian nilai halal pelaburan dalam produk halal dan peluang eksport bersama,” ujarnya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, Malaysia kekal komited untuk mengambil langkah tegas, menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu-isu yang terkait demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN