PETALING JAYA – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kota Damansara, di sini selepas tidak dapat dihubungi sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira pukul 11.27 malam tadi.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya segera dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan kematian mangsa.
“Mangsa dimaklumkan tinggal berseorangan dan pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan awal polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Yunus Abdul Samad di talian 019-730 5604 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














