MELAKA – Perbuatan keji seorang lelaki menghendap wanita membuang air di tandas sebuah stesen minyak dekat sini berbalas apabila dia dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, L. Rames, 39, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja masuk ke tandas perempuan dengan niat hendak menghendap seorang mangsa wanita berusia 28 tahun membuang air kecil.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7.30 pagi di stesen Petronas MITC dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Disember 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia menghidap penyakit tulang rawan tergelincir atau slip disc dan perlu membuat rawatan di hospital.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.-KOSMO! ONLINE














