PETALING JAYA – Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Ministry of Land, Infrastructure and Transport (MOLIT) Korea Selatan memperkukuhkan kerjasama strategik Malaysia-Korea Selatan dalam sektor pengangkutan dan lebuh raya.
MoU tersebut turut memperkukuh lagi hubungan strategik peringkat industri yang telah terjalin antara Plus Malaysia Berhad (Plus) dan Korea Expressway Corporation (KEC), iaitu pengendali lebuh raya terbesar
di Malaysia dan Korea Selatan.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata hubungan strategik antara Plus dan KEC mencerminkan komitmen bersama dalam mentakrifkan semula pengurusan lebuh raya serta mempertingkatkan pengalaman pengguna melalui inovasi.
“Dalam tempoh dua tahun, kami akan bersama-sama meneroka teknologi penurapan jalan, sistem kamera pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan solusi sistem tol yang selari dengan visi Plus untuk menyediakan pengalaman lebuh raya bertaraf dunia kepada semua.
“Menerusi usaha sama ini juga, kami berhasrat untuk meneroka operasi lebuh raya yang lebih moden ke arah lebuh raya masa hadapan yang lebih pintar dan mesra alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai satu peristiwa signifikan dalam landskap industri lebuh raya antarabangsa, Plus dan KEC telah memeterai komitmen bersama melalui satu lagi MoU bagi memajukan infrastruktur berteknologi tinggi.
Selain itu MoU tersebut bertujuan untuk mempertingkatkan solusi mobiliti pintar serta memacu inisiatif berteraskan kelestarian di jajaran lebuh raya masing-masing.
MoU antara Presiden KEC, Mr. Ham Jin-Gyu dan Nik Airina dimeterai sempena penganjuran ‘20th ITS Asia Pacific Forum 2025’ di Suwon, Korea Selatan.
Fokus utama kerjasama Plus-KEC ini meliputi pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), infrastruktur lestari serta peningkatan keupayaan tenaga kerja merentasi kedua-dua organisasi.
Hubungan strategik tersebut menyokong agenda Malaysia dan Korea Selatan untuk memajukan rangkaian pengangkutan, teknologi hijau dan memacu transformasi digital.
Dengan penggabungan sumber dan kepakaran, Plus dan KEC diyakini mampu menetapkan penanda aras baharu dalam kecekapan operasi, ketahanan infrastruktur dan kepuasan pengguna di sepanjang rangkaian lebuh raya kedua-dua negara.
Dalam era industri pengangkutan global yang terus berevolusi, kerjasama holistik antara Malaysia dan Korea Selatan menzahirkan satu model progresif yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














