fbpx
Fasiliti pembuatan kenderaan EPMB di Melaka bakal membuka peluang kepada vendor dan juga ruang pekerjaan kepada rakyat di Melaka.

Kemudahan Fasa 2 EPMB tingkat kapasiti pengeluaran kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) melancarkan kemudahan pembuatan Fasa 2  di sini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunannya kepada 30,000 unit setahun berbanding 6,000 unit pada masa ini.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, kemudahan itu juga dilihat dapat mempercepatkan transformasinya daripada pembekal komponen Tahap-1 kepada rakan pemasangan kenderaan bersepadu secara menegak bagi jenama kereta global.

Sejak EPMB memulakan pembinaan Fasa 1 kemudahan pembuatannya pada suku keempat 2023, lebih 6,000 unit GWM H6 HEV telah dikeluarkan dan dijual di Malaysia.

Menurut beliau, pengeluaran rintis bagi BAIC X55 & BJ40 telah diselesaikan pada November 2025, dengan pengeluaran penuh dijadualkan bermula pada Januari 2026. Pengeluaran rintis bagi kenderaan MG pula dijangka bermula pada Februari 2026.

Seiring dengan kapasiti pengeluarannya yang semakin berkembang, keupayaan pemasangan automotif EPMB disokong oleh kilang pembuatan komponen bersepadunya di Kedah, Perak, Selangor, dan Melaka.

“Pencapaian mercu tanda ini hanya dapat direalisasikan dengan kepercayaan dan kerjasama rakan kongsi OEM kami iaitu  GWM, BAIC dan SAIC, serta dedikasi dan komitmen para pekerja kami.

“Kami terus bekerjasama dengan jumlah OEM China yang semakin bertambah yang sedang mencari rakan pemasangan dan penyetempatan di Malaysia.

“Malaysia kini dilihat sebagai hab automotif yang sedang pesat membangun dan kompetitif bagi rantau Asia Pasifik terutamanya bagi model pemanduan sebelah kanan,” katanya pada majlis perasmian kemudahan terbaharu yang telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hamidon menerangkan, Fasa 3 kilang pembuatan EPMB dijangka beroperasi menjelang akhir suku ketiga 2026 dan akan menggabungkan keupayaan pengecatan badan kereta secara dalaman, meningkatkan tahap penyetempatan (localisation), mencipta nilai tambahan, dan memperkukuh ekosistem pemasangan automotif di Melaka.

Ia akan dibina bersebelahan dengan kemudahan Fasa 2 sedia ada, di atas plot tanah bersebelahan seluas 3.2 hektar.

Peluasan operasi pemasangan EPMB di Melaka dijangka memberikan manfaat ekonomi yang besar, termasuk sehingga 1,000 pekerjaan baharu dan pembangunan keupayaan EEV, EV, automasi dan pembuatan termaju, menarik pemain automotif tempatan dan asing ke Negeri tersebut.

Selain itu,  EPMB juga meraikan MPV GWM Wey G9-PHEV pertama yang keluar dari barisan pemasangannya.

“Wey G9 menandakan kemasukan kami ke dalam segmen MPV premium, membuktikan keupayaan kami yang semakin meningkat untuk memasang kenderaan yang lebih besar, lebih maju dari segi teknologi, dan lebih kompleks,” kata Hamidon.

Pada Oktober 2025, EPMB mengumumkan bahawa ia telah dilantik oleh SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd sebagai pemasang kontrak bagi model MG terpilih di Malaysia.

SAIC Motor Malaysia adalah anak syarikat milik penuh SAIC Motor Corporation Ltd, sebuah syarikat tersenarai di Shanghai yang termasuk dalam Fortune Global 500 dan salah satu kumpulan automotif milik kerajaan terbesar di China. Portfolio jenamanya termasuk MG, Maxus, Roewe, IM, dan Baojun. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN