fbpx
GAMBAR hari ini menunjukkan sebuah hospital di Mrauk, negeri Rakhine rosak teruk dalam serangan udara tentera Myanmar yang membunuh lebih 30 orang. – AFP 

Junta bom hospital, 31 terbunuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAYPYIDAW – Serangan udara tentera Myanmar membunuh lebih 30 orang di sebuah hospital, kata seorang pekerja bantuan hari ini ketika junta melancarkan serangan habis-habisan menjelang pilihan raya umum yang bermula pada bulan ini.

Sebuah jet tentera mengebom hospital umum Mrauk-U di negeri Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh petang semalam, kata seorang pekerja bantuan, Wai Hun Aung.

“Situasinya sangat teruk,” katanya selepas tiba di tempat kejadian pagi tadi.

“Buat masa ini, kami boleh mengesahkan terdapat 31 kematian dan kami jangka akan ada lebih banyak kematian. Juga 68 mangsa cedera dengan angka kecederaan juga dijangka meningkat,” tambahnya.

Sekurang-kurangnya 20 mayat dihimpun di luar hospital di mana beberapa bahagian hospital terbabit musnah akibat letupan dengan runtuhan dan serpihan menutupi katil-katil wad.

Tukang kayu tempatan,  Maung Bu Chay berkata, serangan itu membunuh tiga orang tersayang terdiri daripada isteri, menantu perempuan dan birasnya.

Negeri Rakhine hampir keseluruhannya dikuasai oleh kumpulan pemisah dikenali sebagai Tentera Arakan (AA). Pasukan penentang itu aktif lama sebelum tentera menggulingkan kerajaan awam pimpinan pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Satu kenyataan oleh jabatan kesihatan AA semalam menyatakan, 10 pesakit di hospital itu ‘mati di tempat kejadian’  dalam serangan udara yang dilancarkan sekitar pukul 9.00 malam (waktu tempatan). – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN