SEBERANG PERAI – Jenazah wanita dan anak angkat perempuan berusia lima tahun yang maut dalam kebakaran di kediaman sewa mereka di Taman Rathna, Butterworth di sini, semalam masih belum boleh dituntut dan dikebumikan, hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan bekas suami kepada mangsa, Hayani Yaakob, 50-an iaitu Kamarozlan Muhammad, 57 berhubung status bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mangsa di Hospital Kepala Batas, pagi tadi.
“Saya kini dalam perjalanan ke Hospital Kepala Batas bagi melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Saya dimaklumkan jenazah masih belum boleh dituntutnya dan dikebumikan hari ini sehingga keputusan DNA diperoleh.
“Ia (keputusan DNA) dikatakan perlu mengambil masa dalam tempoh seminggu hingga ke dua minggu dan paling cepat kira-kira seminggu. Sejurus laporan DNA dikeluarkan barulah jenazah dibenarkan dibawa keluar dan dikebumikan.
“DNA perlu dilakukan memandangkan keadaan mayat mereka, yang meninggal dunia akibat kebakaran,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, berhubung keadaan anak lelakinya, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an pula, dia memberitahu, mangsa baru sahaja selesai menjalani pembedahan pada kepala di Hospital Seberang Jaya, malam tadi.
“Ketika ini, keadaannya stabil dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dia cedera luka pada kepala dan hasil pemeriksaan pakar juga memaklumkan tiada kecederaan serius yang dialaminya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya lagi, hubungannya dengan bekas isteri masih baik meskipun sudah berpisah kasih sejak 11 tahun lalu.
“Anak lelaki yang juga anak kedua kami itu memang tinggal dengan ibunya sejak kecil. Dia baru sebulan lebih bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Johor.
“Dia (anak lelaki) memang tiada apa-apa masalah kesihatan dan sangat rapat dengan bekas isteri,” jelasnya lagi.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan dua mangsa terdiri ibu dan anak angkat perempuan berusia lima tahun ditemukan maut akibat terperangkap dalam kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna, Butterworth dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi.
Mayat mangsa ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.
Anak lelaki wanita itu ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. -KOSMO! ONLINE














