PUTRAJAYA – Pasukan siasatan khas yang ditubuhkan Bukit Aman mempunyai tertib dan proses kerja tersendiri dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh berdasarkan keterangan dan penemuan, termasuk melibatkan anggota polis yang terbabit dalam operasi berkenaan.
“Saya percaya keluarga telah melalui peguam dan bercakap tentang adanya rakaman audio dan sebagainya. Semua itu akan dibawa ke dalam siasatan termasuklah pasukan polis yang terlibat dalam operasi itu, semuanya akan diambil.
“Itu merupakan ruang lingkup dalam jawatankuasa siasatan khas yang telah diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. Saya tak akan ‘jump the gun’, mereka ada tertib daripada segi proses kerja untuk mengambil keterangan, mereka akan mengikut prosedur pasukan polis,” katanya.
Saifuddin berkata demikian menerusi sidang akhbar ketika ditanya berhubung perkembangan siasatan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE














