BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang guru sekolah menengah di negeri New York ditahan kerana didakwa menampar punggung seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun, lapor akhbar New York Post.
Kiho Kim, 60 merupakan pengajar di Akademi Reka Bentuk dan Pembinaan Bronx yang terletak di East 151st Street di Selatan Bronx.
Jabatan Polis New York (NYPD) mengesahkan suspek diberkas etang kelmarin kerana menyentuh punggung pelajar.
“Dia didakwa atas pertuduhan mencabul dan sentuhan paksa dalam insiden itu,” kata NYPD.
Jurucakap Sekolah Awam Bandar Raya New York memberitahu bahawa Kim sedang dalam proses untuk dikeluarkan dari komuniti sekolah kerana tingkah laku tidak senonoh itu.
“Tingkah laku ini tidak boleh diterima dan keselamatan pelajar adalah keutamaan kami. Individu ini sedang dikeluarkan dari komuniti sekolah, dan jika disabitkan kesalahan, kami akan meneruskan penamatan perkhidmatan,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.
Kim menghadiri perbicaraan pertamanya di Mahkamah Jenayah Bronx petang semalam. – AGENSI














