KUALA LUMPUR – Isu gelandangan terus menjadi masalah berterusan di ibu negara dengan kemunculan kumpulan baharu dan pengulangan kes dalam kalangan individu sama, meskipun pelbagai usaha intervensi telah dijalankan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kebanyakan gelandangan datang dari pelbagai latar belakang berbeza.
“Ada yang datang ke Kuala Lumpur sementara, kemudian balik semula ke rumah masing-masing. Ada juga pemegang kad UNHCR (pelarian).
“Kemudian ada individu yang mempunyai penyakit mental dan penagih dadah. Dalam satu-satu operasi, kira-kira seramai 400 gelandangan ditahan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zaliha mengakui banyak kawasan ‘hot spot’ gelandangan di sekitar pusat bandar antaranya sekitar Bangkok Bank dan Jalan Pudu.
“Dimana ada kawasan baharu ada infrastruktur yang membolehkan mereka berteduh atau tidur juga akan menjadi tempat mereka berkumpul,” jelasnya.
Ujarnya ketika ini terdapat tiga pusat yang menempatkan gelandangan di ibu negara, antaranya Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.
Dalam masa yang sama beliau juga mengalakkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar menghantar makanan ke pusat gelandangan berbanding memberi sumbangan di jalanan sekali gus menjejaskan kebersihan bandar raya.
Mengulas operasi gelandangan sempena penganjuran ASEAN sebelum ini, Zaliha berkata, sebahagian gelandangan telah dihantar untuk mengikuti latihan di Gemencheh.
“Ada sebahagian mereka sehingga boleh bekerja selepas itu. Namun, ada juga yang berterusan dan sentiasa ada gelandangan baharu serta gelandangan berulang,” katanya.
Mengulas lanjut, menurut Zaliha, kerajaan kini meneliti dengan lebih mendalam kerangka undang-undang berkaitan pengurusan gelandangan.
Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melihat Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) dengan lebih jauh.
“Kita teliti siapa yang bertanggungjawab di bawah akta tersebut dan mencari penyelesaian terbaik untuk isu gelandangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














