TOKYO – Gegaran sederhana bermagnitud 5.7 melanda kawasan luar pantai pulau utama Jepun, Honshu dua hari selepas gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud menggegarkan utara negara itu, lapor akhbar The Independent.
Gempa bumi terbaharu itu berlaku ketika bahagian utara dan timur Jepun berada dalam keadaan waspada tinggi.
Gempa awal pada Isnin lalu mencederakan sekurang-kurangnya 51 orang, demikian menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana.
Bencana itu turut mencetuskan tsunami setinggi cuma 70 sentimeter di beberapa pantai.
Gegaran terbaharu semalam pula berlaku sekitar pukul 11.15 malam (waktu tempatan) di Lautan Pasifik, kira-kira 80.46 kilometer dari luar pantai wilayah Aomori.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tahap tertinggi dengan gempa bumi mega berisiko menyusul selepas gegaran pada Isnin lalu.
Gempa bumi mega adalah gempa bumi berukuran 8 magnitud atau lebih tinggi.
Amaran itu merangkumi kawasan kira-kira 1,300 kilometer dari pantai timur laut Jepun, bermula dari Chiba hingga ke Hokkaido. – AGENSI














