fbpx
Anggota polis membawa Raja Yusuf Saifullah (dua dari kanan) dan Miqdad Elya untuk didakwa atas pertuduhan menyeludup dua PATI warga Myanmar di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Empat tekong darat didakwa seludup 8 PATI warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Empat tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup seramai lapan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai dan sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 41, Nor Hizam Mohd. Nor, 45, dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh berikutan kes melibatkan penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf Saifullah dan Miqdad Elya didakwa melakukan penyeludupan migran dua lelaki warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai, Jalan Utama Kota Bharu-Gua Musang dekat sini kira-kira pukul 4.45 petang pada 14 November lalu.

Nor Hizam dan Mohamad Faizul pula dituduh melakukan penyeludupan migran enam lelaki warga Myanmar di sebuah rumah teres di Taman Redha, Pulai Chondong dekat Machang kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 15 November lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan peguam, Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal mewakili Raja Yusuf Saifullah manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan kerana kes tersebut merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Muhammad Aridz dalam rayuannya memohon satu jaminan diberikan kepada Raja Yusuf Saifullah dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal kepada isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes tersebut perlu dimohon di Mahkamah Tinggi selain menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI