SEREMBAN – Tidak sampai 48 jam, dua individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes menembak mati dua lelaki dalam sebuah kereta di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu diberkas di sebuah rumah di daerah ini pada pukul 2 pagi tadi.
“Berdasarkan siasatan, ketika kejadian, suspek dipercayai menunggang motosikal. Selain tangkapan, pihak polis merampas sepucuk pistol yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Hasil siasatan turut mendapati kejadian bermotifkan dendam. Kita masih menyiasat sekiranya terdapat kaitan kongsi gelap dalam kes tembak ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azahar, seorang lagi lelaki berusia 47 tahun yang terkena tembakan dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini.
“Semakan mendapati lelaki yang parah itu merupakan salah seorang suspek kes tetak di sebuah pusat beli-belah di Seremban pada April lalu,” katanya.
Kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).-KOSMO! ONLINE














