BERGAMO – Chelsea terus dibelenggu dengan aksi hambar apabila tewas 1-2 kepada Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang berlangsung di Stadium Gewiss awal pagi semalam.
Meskipun mendahului perlawanan menerusi jaringan Joao Pedro pada minit ke-25, namun The Blues gagal menghalang kebangkitan tuan rumah yang meledak dua gol di separuh masa kedua menerusi Gianluca Scamacca dan Charles De Ketelaere.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mula risau dengan prestasi semasa ditampilkan skuad kendaliannya apabila gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.
“Memang saya risau dengan situasi sekarang kerana dua mata dalam empat perlawanan bukanlah sesuatu yang bagus. Kami langsung tidak menjangka dengan aksi seperti ini dan perlu melakukan lebih baik.
“Kami bermain sangat baik di separuh masa pertama dan berjaya mendominasi permainan. Bagaimanapun, semuanya berubah di separuh masa kedua apabila mereka dapat menjaringkan gol penyamaan,” katanya.
Chelsea wajar berasa bimbang memandangkan kekalahan itu meletakkan mereka di luar kelompok lapan teratas, sekali gus berisiko untuk tidak layak ke pusingan 16 pasukan terbaik secara automatik.
“Kami bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari, jadi mungkin ia menjadi punca kami agak bergelut. Sekarang kami perlu mengalihkan perhatian untuk bangkit mencatat kemenangan,” ujar Maresca. – AGENSI














